Friday, April 29, 2011

Etika Protokol Dan Sosial Dalam Majlis Mengikut Islam

Etika protokol dan sosial dalam sesuatu majlis sangat penting untuk diketahui oleh semua lapisan masyarakat. Ini kerana ia melibatkan tatasusila dan sahsiah diri dalam menampilkannya kepada khalayak ramai dan ianya juga melibatkan imej sesuatu kelompok masyarakat atau tamadun atau sesebuah agama. Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud cara, rutin, kebiasaaan, adat resam dan budi pekerti. Bahasa Latin pula menggunakan perkatan Mores iaitu kata dasar bagi moral untuk maksud dan konsep yang sama. Oleh itu, perkataan etika digunakan untuk maksud cara, kebiasaan dan budi pekerti. Jika ia melibatkan protokol dan sosial ia membawa maksud cara, kebiasaan dan budi pekerti di dalam protokol dan sosial.

Di dalam Islam maksud etika menghampiri dengan apa yang digariskan di dalam perbicaraan akhlak Islam. Akhlak Islam adalah perbicaraan yang melibatkan adab sopan diri, cara berkelakuan dan hubungannya dengan agama. Oleh yang demikian jika etika itu dikaitkan dengan akhlak Islam ini ia membawa maksud tatsusila dan budi pekerti yang mempunyai hubungan dengan agama. Jika maksud ini digunakan untuk protokol dan sosial ianya bermaksud tatasusila dan budi pekerti yang mempunyai hubungan dengan agama. Hubungan ini terbentuk samada dengan apa yang disarankan oleh al-Quran atau Sunnah Nabi (perkataan, kelakuan dan ikrar Nabi) atau apa yang telah dipersetujui bersama oleh para cendikiawan (Ijmak).

Melalui huraian ini dapatlah disimpulkan bahawa pengertian etika protokol dan etika sosial di dalam majlis dari perspektif Islam adalah tatsusila dan budi pekerti dalam protokol dan sosial yang mempunyai hubungan dengan agama. Ianya adalah satu perbicaraan yang lebih seimbang kerana di dalam usaha seseorang itu menjaga penampilan dirinya di dalam sesuatu majlis untuk memenuhi keperluan protokol dan sosial pada waktu yang sama ia dapat memenuhi kehendak dan batasan agamanya tanpa menyentuh perasaan peribadi masyarakat sekeliling yang hadir sama.

Kepentingan protokol dan sosial majlis dalam Islam.
Islam sangat mementingkan adap sopan dan akhlak dalam kehidupan penganut-penganutnya. Oleh itu, adab sopan dan akhlak ini menjadi ukuran yang cukup berkesan dalam menilai individu Muslim. Jika adab sopan dan akhlak ini dipraktiskan dalam bentuk berkelompok ia akaan mengambarkan bertapa murni dan baiknya tatacara Islam dalam sesuatu perkara. Jika adab sopan dan akhlak ini dibawa dalam sesuatu majlis maka akan menunjukkan bertapa baiknya peraturan-peraturan atau protokol Islam itu. Secara umumnya kepentingan peraturan-peraturan tertentu atau protokol di dalam majlis dari sudut pandangan Islam dapat dilihat melalui sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

“tempatkanlah manusia (tetamu) pada tempat dan kedudukan mereka yang selayaknya” (al-Tirmidzi)

Secara khususnya pula kepentingan protokol di dalam sesuatu majlis itu adalah untuk menjaga perkara-perkara berikut:

i. Adab sopan dan akhlak Islam pada individu dan kumpulan yang menghadiri majlis.
ii. Majlis mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t.
iii. Menjaga kemuliaan dan kedudukan seseorang yang menghadiri majlis.
iv. Mengutamakan dan memuliakan tuan rumah atau penganjur majlis.
v. Tidak menyinggung mana-mana tetamu atau pihak di dalam majlis.
vi. Mematuhi dan menjaga nilai-nilai murni sejagat di dalam majlis.

Etika protokol.

i. Memberi salam ketika masuk majlis dan setiap kali berjumpa tetamu.
Memberi salam adalah sebagai pembukaan kepada individu samada ketika mahu masuk ke dalam majlis atau ketika bertemu para tetamu. Salam yang diberikan hendaklah ikhlas dan dengan muka senyum dengan penuh semangat persaudaraan dan perasaan kasih sayang. Dalam perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Kalian tidak akan masuk Syurga sebelum kalian beriman. Dan kalian tidak akan beriman sebelum kalian saling cinta mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang apabila kalian kerjakan akan wujud perasaan saling cinta mencintai? Ucapkanlah salam diantara kalian” (Muslim)

Islam juga mengajarkan cara bagaimana salam itu mesti diucapkan dengan sabda-sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Hendaklah orang yang berkenderaan mengucapkan salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan kaki kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit kepada orang yang banyak” (al-Syaikhani)

“Orang yang lebih kecil mengucapkan salam kepada orang yang lebih tua” (Bukhari)

ii. Berjabat tangan orang yang ditemui di dalam majlis.
Berjabat tangan adalah satu budaya yang menerapkan keakraban dan kasih sayang dalam Islam. Praktis budaya ini di dalam majlis akan menyohorkan sifat akrab dan kasih sayang dikalangan tetamu majlis. Falsafah disebalik berjabat tangan ini dalam sesuatu majlis dapat dijelaskan melalui sabda-sabda Rasulullah s.a.w berikut yang bermaksud:

“Apabila dua orang Muslim bertemu lalu saling berjabatan tangan, memuji Allah dan memohon keampunannya, sudah tentu Allah akan mengampunkan mereka berdua” (Abu Daud)

“Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabatan tangan, kecuali kedua-dunya diampuni Allah sebelum kedua-duanya berpisah” (Ibnu Majah)

“Saling berjabat tanganlah kalian, sudah tentu kedengkian akan hilang dan saling memberi hadiahlah kalian, sudah tentu kalian akan cinta mencintai dan permusuhan akan hilang” (Imam Malik)

iii. Duduk ditempat yang telah dikhaskan.
Di dalam setiap majlis rasmi yang diadakan pada kebiasaannya tempat duduk telah disediakan dan dikhaskan. Di dalam perkara ini protokol di dalam Islam mengajar agar seseorang itu duduk di dalam majlis ditempat yang telah disediakan dan dikhaskan oleh tuan rumah atau pihak penganjur. Ini bertepatan dengan apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya:

“Barangsiapa memasuki rumah atau majlis sesuatu kaum, hendaklah ia duduk ditempat sebagaimana yang telah mereka perintahkan, kerana kaum itu lebih mengetahui tentang aib rumah dan majlis mereka” (Majma’ al-Zawa’id)

iv. Tidak duduk ditengah-tengah para tetamu (jika para tetamu berada dalam keadaan bulatan).
Protokol ini hendaklah dijaga jika sesuatu majlis itu berada dalam keadaan bulatan atau di dalam majlis rasmi pada kebiasaannya diadakan jamuan meja bulat. Jika seseorang itu duduk ditengah-tengah ia seolah membelakngkan para tetamu lain dan ini menyakiti tetamu lain sehingga mencemuh dan mengutuk. Perkara ini dilarang oleh Rasululah s.a.w melalui sabda-sabdanya yang bermaksud:

“Orang yang duduk ditengah-tengah lingkaran majlis adalah orang yang terkutuk” (Abu Daud)

“Bahawa seorang lelaki duduk ditengah-tengah lingkaran suatu majlis kemudian Hudzaifah berkata “Terkutuklah menurut lisan Muhammad s.a.w orang yang duduk ditengah-tengah lingkaran”” (al-Tirmidzi)

v. Orang yang datang terakhir duduk ditempat yang terakhir.
Peraturan dan protokol ini adalah untuk tetamu yang menghadiri majlis tanpa ada jemputan khas. Ini kerana jika majlis yang mempunyai jemputan khas, tempat duduk khas telah disediakan. Falsafah dan moral disebalik peraturan ini supaya tidak menganggu majlis yang mungkin telah bermula. Ini jelas dapat dilihat seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila kami mendatangi Nabi (dalam satu majlis dan majlis telah pun bermula), maka antara kami duduk ditempat yang terakhir” (Abu Daud)

vi. Dilarang duduk diantara dua orang (tempat duduk yang kosong) kecuali dengan izin keduanya.
Perkara ini adalah untuk mengelakkan daripada seseorang itu mengambil tempat duduk yang telah dikhaskan untuk orang lain yang mungkin belum datang atau kerana sebab-sebab tertentu tempat tersebut sengaja dikosongkan oleh tuan rumah atau penganjur. Rasulullah s.a.w telah melarang perkara ini melalui sabda-sabda baginda yang bermaksud:

“Tidak dihalalkan bagi seorang lelaki untuk memisahkan dua orang (dengan duduk diantaranya), kecuali dengan izin keduanya” (al-Tirmidzi)

“Dilarang duduk antara dua lelaki (dalam suatu majlis) kecuali dengan izin keduanya” (Abu Daud)

vii. Berdiri menyambut tetamu yang datang kemudian.
Protokol ini adalah sebagai menghormati, memulia dan mengalu-alukan kedatangan tetamu. Dengan praktis yang sedemikian tetamu yang datang akan merasa diri mereka dihargai. Perkara ini jelas seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui sabda-sabdanya yang bermaksud:

“Berdirilah untuk menghormati tetamu atau orang yang paling baik diantara kamu” (al-Syaikhani)

“Nabi s.a.w memberikan ucapan (dalam satu majlis), apabila baginda berdiri, maka kami pun berdiri tegak sampai kami melihat beliau masuk” (al-Nasa’i)

viii. Mencium tangan tetamu yang lebih tua ketika berjabat tangan.

Praktis ini menampakkan kepada menjaga hak orang yang lebih utama. Disamping itu ianya juga menampakkan kepada perasaan hormat dan menyanjung sesetengah tetamu di dalam sesuatu majlis yang dihadiri. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Aku berkata kepada Ibnu Abi Aufa (dalam satu majlis), “berikan tanganmu yang telah kau gunakan untuk mengadakan baiah dengan Rrasulullah s.a.w” ia menghulurkannya lalu aku menciumnya (selepas berjabat tangan)” (Imam Malik)

ix. Menyediakan tempat duduk mengikut keutamaan tetamu.
Menyediakan tempat duduk yang khas mengikut keutamaan tetamu juga adalah satu protokol yang diajar oleh Islam di dalam sesuatu majlis. Cara ini adalah sebagai menjaga kemuliaan, kedudukan dan kepentingan tetamu tersebut. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Dudukkanlah orang-orang pada kedudukan mereka” (Abu Daud)


x. Menyediakan keutamaan tempat duduk berdasarkan kepada orang yang lebih tua.
Selain daripada menyediakan tempat duduk mengikut keutamaan tetamu keutamaan yang selanjutnya adalah berdasarkan kepada orang yang lebih tua dari sudut usia. Ini sebagai tanda menghormati dan mengutamakan golongan ini. Nabi bersabda yang maksudnya:

“Tiga orang yang tidak boleh dihinakan kecuali orang Munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan ketua yang adil” (al-Tabrani)

No comments:

Post a Comment