i. Mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
Ini adalah etika sosial dalam menghadapi hidangan di dalam majlis. Perkara ini dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud:
“Berkah makan itu terdapat pada mencuci (mencuci tangan) pada sebelum dan sesudah makan” (al-Tirmidzi)
ii. Membaca Basmalah sebelum makan dan Hamdalah selepasnya.
Etika ini ialah sebagai satu cara dalam sosial di dalam majlis untuk mengingati Allah s.w.t dalam menjamah makanan. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Apabila salah seorang daripada kamu makan, hendaklah ia menyebut nama Allah (Basmalah). Dan apabila ia terlupa menyebut nama Allah pada awalnya hendaklah ia menyebut nama Allah pada awal dan akhirnya (Hamdalah)” (al-Tirmidzi)
iii. Meminum air dengan tiga kali teguk sebelum menjamah makanan lain.
Perkara ini adalah untuk mengelakkan seseorang itu gelojoh di dalam menjamah makanan. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Janganlah kamu minum dengan sekali teguk seperti unta minum, tetapi minumlah dengan dua atau tiga kali teguk. Bacalah Basmalah sebelum minum dan bacalah Hamdalah bila selesai minum” (al-Tirmidzi)
iv. Tidak mencela makanan yang disajikan.
Mencela makanan yang disajikan adalah seperti mencela rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t. Di dalam perkara ini Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Rasulullah s.a.w tidak pernah mencela suatu makanan yang dihidangkan, apabila baginda berselera terhadap makanan itu baginda memakannya, dan jika baginda tidak menyukainya baginda akan meninggalkannya” (al-Syaikhani)
v. Makan dengan tangan kanan dan mencapai makanan yang dekat.
Perkara ini bertujuan untuk menjaga keharmonian majlis dan dari satu sudut dapat menilai sosial seseorang di dalam majlis. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Pernah aku menjadi seorang budak dibawah pengawasan Rasulullah s.a.w ketika makan. Tanganku bergerak ditempat makanan, Rasulullah s.a.w menegurku “Wahai anak, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang dekat dengan kamu”” (Muslim)
vi. Tidak makan sambil bersandar.
Makan sambil bersandar menunjukkan kesombongan seseorang itu di dalam sesuatu majlis. Rasulullah s.a.w mengajarkan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud:
“Aku tidak makan sambil bersandar” (al-Bukhari)
vii. Dianjurkan berbincang-bincang ketika makan.
Ini akan merapatkan lagi silaturahim sambil berkenalan antara tetamu yang hadir. Ramai para sahabat Nabi suka makan dengan baginda dalam sesuatu majlis kerana baginda akan berbincang-bincang tentang hal-hal semasa. Jabir r.a berkata yang maksudnya:
“Rasulullah s.a.w akan berbincang sambil menjamah makan dengan orang sekelilingnya” (Abdullah Nasih Ulwan, 1989: 428)
viii. Mengutamakan tetamu kehormat dan orang yang lebih tua dalam menjamah makanan.
Etika ini adalah sebagai tanda hormat dan tanda kasih sayang seseorang terhadap tetamu yang lebih utama dan orang-orang yang lebih tua dari sudut usia. Rasulullah s.a.w mengajarkan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Jika kami menghadiri suatu jamuan makan bersama Rasululah s.a.w, belum pernah kami meletakkan tangan kami pada makanan sebelum Rasulullah s.a.w memulai meletakkan tangan baginda” (Muslim)
ix. Dilarang makan dan minum terlalu kenyang.
Perkara ini untuk mengelakkan tetamu yang lain memandang seseorang itu terlalu tamak dengan makanannya disamping dapat menjaga kesihatannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Tidak ada satu tempat yang lebih buruk bagi anak Adam kecuali perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap sahaja sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika terpaksa ia harus berbuat, maka hendaklah sepertiga diisi untuk makanannya, sepertiga diisi untuk minumannya dan sepertiga lagi diisi untuk nafasnya” (al-Tirmidzi)
x. Makan dan minum sambil duduk.
Falsafah disebalik perkara ini ialah untuk menunjukkan akhlak yang tinggi di dalam makan dan minum dalam majlis. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Rasulullah s.a.w melarang seseorang untuk minum sambil berdiri. Lalu kami bertanya tentang makan. Baginda menjawab bahawa perkara itu lebih buruk” (Muslim)
xi. Berbincang di dalam majlis dengan tahap pengetahuan yang sesuai.
Perkara ini bagi mengelakkan rasa rendah diri dan rasa dihina oleh seseorang yang diajukan perbicaraan. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Berbicaralah dengan manusia sesuatu yang sesuai dengan pengetahuan mereka. Apakah kamu suka jika Allah dan RasulNya didustakan?” (Muslim)
xii. Bergurau yang tidak keterlaluan dalam majlis.
Bergurau di dalam ssuatu majlis adalah untuk mengeratkan silaturahim. Tetapi Rasulullah s.a.w melarang daripada bergurau yang keterlaluan melalui sabdanya yang bermaksud:
“Sesiapa yang banyak tertawa maka akan berkuranglah wibawanya. Sesiapa yang banyak bergurau senda (dengan keterlaluan) maka ia akan diremehkan” (al-Bukhari)
xiii. Meminta izin sebelum keluar daripada majlis.
Etika ini bertujuan supaya adab dan akhlak kita dapat dilihat oleh tetamu lain dan keluar dalam keadaan yang baik dan sopan. Perkara ini juga bertujuan untuk memelihara kehormatan penganjur. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya meminta izin (keluar dari sesuatu majlis) dijadikan untuk melihat (menonjolkan adab sopan seseorang di dalam majlis)” (al-Syaikhani)
Kesimpulannya ungkapan ‘hidup dikandung adat, mati dikandung tanah’, adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa kehidupan manusia adalah tertakluk kepada peraturan dan adat istiadat yang diwarisi oleh mereka. Ungkapan tersebut mengandungi falsafah yang tersendiri, yang menggambarkan bahawa seseorang itu akan diterima baik oleh masyarakatnya sekiranya ia patuh pada peraturan, adat istiadat dan kepentingan orang ramai. Walaupun pengukuran nilai ini bersifat subjektif tetapi ada nilai-nilai yang diterima oleh semua golongan yang dikenali sebagai nilai-nilai sejagat.
Tuesday, April 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment